Friday 7 February 2014

Minggu 7 - Frasa Adjektif Bahasa Melayu

Frasa adjektif dalam bahasa Melayu mempunyai elemen kata yang terdiri daripada satu atau beberapa perkataan yang mewakili kata sifat atau kata adjektif sebagai kata intinya.  Hal yang demikian membuktikan bahawa  kepelbagaian elemen kata sifat atau kata adjektif memberikan impak dalam pembentukan frasa adjektif yang berfungsi sebagai predikat dan juga unsur keterangan dan unsur penerang dalam predikat.
Harus dijelaskan bahawa kata adjektif yang hadir selepas kata kerja disebut sebagai keterangan. Sementara, kata adjektif  yang hadir selepas kata nama disebut sebagai penerang. Dalam perbincangan ini, kita akan melihat pola-pola frasa adjektif yang berkaitan dengan binaan frasa,  kata penguat dan  kata bantu dalam frasa. Selain itu, unsur pengisi yang wujud dalam frasa adjektif akan dibincangkan juga dalam tajuk frasa adjektif  bahasa Melayu ini.


 Anda perlu mengetahui bahawa, kandungan isi untuk topik ini meliputi huraian tentang konsep frasa adjektif    berdasarkan pendapat ahli-ahli bahasa. Frasa adjektif dalam bahasa Melayu  terdiri daripada satu atau beberapa perkataan yang mewakili kata sifat atau kata adjektif sebagai kata intinya. Dalam susunan ayat biasa, frasa adjektif berfungsi sebagai predikat.


7.1       Binaan Frasa Adjektif : Unsur Pengisi Frasa Adjektif
Frasa adjektif   ialah frasa yang terdiri daripada kata adjektif  sebagai unsur intinya. Frasa adjektif  bertugas sebagai predikat dalam susunan ayat biasa. Dalam hal ini, frasa adjektif boleh terdiri daripada satu kata adjektif atau beberapa kata yang mengandungi kata adjektif dengan kata bantu dan penguat sama ada dihadapan atau di belakangnya. Hal yang demikian bersesuaian dengan fungsi kata bantu dan penguat sebagai binaan dan unsur pengisian dalam frasa adjektif.
Contoh :
(1) . Wak Samad   sudah terlalu tua
Dalam ayat (1) [Wak Samad] merupakan subjek frasa nama yang diikuti oleh predikat frasa adjektif.
Dalam binaan predikat,  [sudah + terlalu + tua] merupakan predikat yang terbina daripada unsur-unsur  berikut :
[kata bantu  + penguat + kata adjektif]
 Unsur pengisi dalam frasa adjektif juga dapat dilihat dalam contoh-contoh di bawah:
Kata Bantu
Penguat
Kata Adjektif
Penguat
sudah
-
belum
masih
-
terlalu
sangat
-
terlalu
amat
tua
prihatin
masak
awal
baik
-
-
benar
-
-


Dalam contoh-contoh di atas, kata bantu boleh hadir bersama-sama penguat hadapan mendahului kata adjektif. Namun, penguat juga boleh hadir sama ada di belakang atau di belakang  kata adjektif. Bentuk sedemikian boleh berubah-ubah berdasarkan rumus tatabahasa dan pola dalam ayat berkaitan.


7.1.1 Binaan Kata Adjektif Satu Perkataan
Binaan jenis ini merupakan asas kepada pembentukan frasa adjektif yang menggunakan satu kata adjektif dalam ayat.
Contoh:
  (2) . Salim  sangat  rajin.
  (3) . Guru pelatih itu  cergas
  (4) . Dia kelihatan  ceria.
  (5) . Penglihatannya  kabur.
  (6) . Tanamannya  subur.

7.1.2 Binaan Kata Adjektif Dua  Perkataan
Binaan dua perkataan adjektif merupakan asas kepada pembentukan frasa adjektif yang menggunakan dua  kata adjektif dalam ayat
Pola binaannya boleh terdiri daripada yang berikut:
(i)  kata adjektif + kata adjektif (unsur keserasian makna)
contoh :
letih lesu
cantik molek
lemak manis
penat lelah
(i)  kata adjektif + kata adjektif (makna berlawanan)
contoh:
jatuh bangun
hidup mati
baik buruk
susah senang
pahit maung





7.2 Penguat
  • Kata penguat boleh hadir dalam frasa adjektif  berdasarkan jenis-jenisnya. Terdapat tiga jenis penguat:
(i)   Penguat hadapan
(ii)  Penguat belakang
(iii) Penguat bebas
  • Penguat hadapan merupakan kata yang terletak di hadapan kata adjektif.
Penguat hadapan  terdiri daripada kata terlalu dan paling.
 Contoh:
(7) . Rumahnya  terlalu besar.
(8) . Lukisan  itu  paling cantik.
  • Penguat belakang pula merupakan kata yang terletak di belakang kata adjektif seperti sekali, benar, nian
(9) . Pakaian puteri itu   cantik sekali.
(10) .  Kereta lembu itu lambat benar.
(11) .  Taman Bunga di istana itu indah nian.
  • Penguat bebas ialah perkataan yang kedudukannya bebas, iaitu boleh hadir di hadapan atau di belakang kata adjektif. Contoh: amat dan sungguh.
(12) .  Kubah masjid itu  amat besar.
(13) .  Gerakan dan gaya  pesilat Malaysia tangkas sungguh.
Unsur penguat yang hadir berderetan sebelum kata adjektif juga wujud dalam binaan frasa adjektif. Contoh : sungguh amat, terlalu amat, seperti dalam ayat-ayat berikut:
(14).  Percakapan  orang tua itu sungguh amat  kasar .
(15).  Perangai  anaknya terlalu amat sopan.





7.3 Kata Bantu Dalam Frasa Adjektif
Kata bantu merupakan unsur yang boleh hadir dalam frasa adjektif. Ada kata bantu tertentu yang boleh hadir sebelum atau sesudah penguat. Frasa adjektif jelasnya boleh disertai oleh kata bantu sudah, belum, masih, harus berdasarkan kesesuaian konteks ayat.
Contoh: 
(16).  Anaknya sudah besar.
(17).  Sayur-sayuran  dikebun itu  masih belum subur.
(18).  Pekerja yang berkualiti  harus  cekap.
Terdapat juga kata bantu yang boleh hadir sebelum atau selepas penguat, misalnya: masih amat jauh, belum terlalu lewat, belum sangat cekap, sungguh masih muda, sungguh telah pandai
Contoh:
(19).  Kedudukan khemah  itu   masih amat jauh.
(20).  Kehadiran pelajar itu belum terlalu lewat.
(21).  Pekerja baru itu   belum sangat   cekap.
(22).  Anak sulungnya itu   sungguh masih   muda.
(23).  Pelajar kelas  peralihan itu sungguh telah   pandai.

Minggu 6 - Frasa Kerja Bahasa Melayu

Frasa kerja dalam bahasa Melayu mempunyai elemen kata bantu dalam predikat. Hal yang demikian membuktikan bahawa  kepelbagaian elemen kata dalam sesuatu frasa bahasa Melayu menghasilkan satu sistem yang komprehensif. Kata bantu boleh hadir di hadapan predikat kata kerja. Terdapat dua jenis kata bantu iaitu kata bantu aspek dan kata bantu ragam. Dalam perbincangan ini, kita akan melihat pola-pola frasa kerja yang menggunakan kata bantu dalam predikat. Selain itu, aspek penggunaan ayat komplemen dan unsur keterangan akan dibincangkan juga dalam tajuk frasa kerja bahasa Melayu.

 Anda perlu mengetahui bahawa, kandungan isi untuk topik ini meliputi huraian tentang konsep frasa kerja  berdasarkan pendapat-pendapat  ahli bahasa. Frasa kerja dalam bahasa Melayu  terdiri daripada kata kerja sebagai dasarnya. Dalam susunan ayat biasa, frasa kerja berfungsi sebagai predikat.

6.1       Frasa Kerja Dengan Kata Bantu Aspek
Menurut Siti Hajar Abdul Aziz. (2008) Frasa kerja terdiri daripada kata kerja sebagai unsur intinya. Frasa kerja bertugas sebagai predikat dalam susunan ayat biasa. Dalam hal ini, frasa kerja yang melibatkan kata bantu aspek merupakan keperihalan tentang aspek masa lampau, ini atau masa hadapan. Hal yang demikian bersesuaian dengan fungsi kata bantu aspek.
Bagi menjelaskan fungsi kata bantu dalam frasa, diberikan contoh ayat berkaitan.
Contoh (fungsi menunjukkan masa  yang telah berlaku: sudah , telah ,pernah)
  (1). Amirul sudah mencapai kejayaan dalam peperiksaan yang lepas.
  (2). Dia telah  menulis puisi sejak di bangku sekolah.
  (3). Michael pernah mendapat pengiktirafan sebagai guru cemerlang.
      Contoh (fungsi menunjukkan perbuatan yang belum dilakukan: akan dan     belum)
  (4). Wan Malini akan memetik bunga di taman.
  (5). Adi Kencana belum lagi berminat untuk merantau ke kota.
Kata Bantu
Kata Bantu Aspek
Kata Bantu Ragam
Memerihalkan masa lampau, kini, atau masa hadapan.
Contoh :
telah, sudah, sedang, masih, akan, belum
Memerihalkan perasaan ketika melakukan perbuatan.
Contoh:
hendak, mahu, harus, mesti, boleh, dan dapat

6.2       Frasa Kerja Dengan Kata Bantu Ragam
Frasa kerja yang melibatkan kata bantu ragam merupakan keperihalan tentang aspek perasaan. Hal yang demikian bersesuaian dengan fungsi kata bantu aspek yang memerihalkan perasaan ketika melakukan perbuatan.
Contoh ayat:
(6). Dia hendak bekerja di  Kuala Lumpur.
(7). Maslina mahu membuktikan bahawa dia juga mampu menjadi juara.
(8). Dia harus pulang ke kampung segera.
(9).  Anda mesti belajar untuk menguasai kemahiran mengajar.
(10).  Yatim boleh berjaya jika dia berusaha bersungguh-sungguh.
(11).  Daud dapat menyertai program sukan berkuda di Johor Bahru.  

6.3  Frasa Kerja Dengan Ayat Komplemen
           
Frasa kerja dengan ayat komplemen  merupakan jenis frasa yang boleh menerima pelengkap atau sebaliknya yang dipancangkan ke dalam klausa utama bagi binaan sesuatu ayat. Menurut Nik Safiah Karim et.al (2008), frasa kerja sama ada jenis transitif atau tak transitif, boleh menerima ayat komplemen. Dalam binaan predikat, frasa kerja jenis ini  ditandai  dengan penggunaan kata kata hubung bahawa, demi, supaya, semoga dan untuk. Apabila keadaan sedemikian berlaku, maka ayat yang terbentuk ialah ayat majmuk
Contoh :
(i)  Frasa kerja transitif dengan ayat komplemen
(12). Cikgu Normah  menegaskan bahawa tidur yang berkualiti  adalah perlu
         untuk kesihatan minda.
(13). Pak Mat mengakui bahawa dia pernah  berkhidmat dalam pasukan
         komando.
(14). Pemandu bas itu  memaklumkan bahawa semua penumpang selamat
         sampai ke destinasi.
Berdasarkan contoh ayat di atas, ayat (12) , (13) dan (14) menunjukkan kata kerja tidur, terjatuh dan bergaduh. Kata kerja tersebut menerima ayat komplemen yang akhirnya membentuk ayat majmuk.
(ii) Frasa kerja tak transitif dengan ayat komplemen
(15). Haji Amin percaya bahawa  mangsa kebakaran itu boleh diselamatkan.
(16). Kim Seng faham bahawa jirannya terpaksa berpindah ke kampung.
(17).  Jasmin berpendapat bahawa kerjaya guru sangat  mencabar.
Dalam ayat (15), (16), dan (17), frasa  kerja tak transitif telah menerima  ayat komplemen. Biarpun begitu, ayat ini masih mengekalkan konsep kata kerja tak transitif dan akhirnya membentuk ayat majmuk.

6.4       Unsur Keterangan dalam Frasa Kerja

Unsur keterangan dalam frasa kerja  diwakili oleh unsur-unsur penerang yang memerihalkan atau menerangkan kata kerja tersebut dengan lebih lanjut. Unsur –unsur biasanya hadir selepas kata kerja. Bagi kata kerja transitif, unsur keterangan hadir selepas objek (penyambut). Unsur-unsur keterangan boleh terdiri daripada binaan frasa sendi nama, frasa adjektif, dan frasa nama. Yang pasti, unsur keterangan ini dapat memberikan gambaran yang lebih jelas tentang maksud dan sasaran makna dalam sesuatu frasa yang menjadi struktur binaan dalam satu-satu frasa.
Berdasarkan  aspek makna yang hadir dalam frasa kerja, unsur keterangan dapat dibahagikan kepada lapan jenis:
(i) Keterangan tempat atau arah
(ii) Keterangan waktu
(iii) Keterangan cara
(iv) Keterangan tujuan atau harapan
(v) Keterangan alat
(vi) Keterangan penyertaan
(vii) Keterangan hal
(viii) Keterangan bagai
Huraian:
(i) Keterangan tempat atau arah
Unsur keterangan tempat atau arah membincangkan tempat berlakunya peristiwa. Penggunaan kata sendi  nama di,ke,dari,daripada,kepada ,pada jelas terdapat dalam unsur keterangan ini.
Contoh:
(18) Dia belajar di universiti.
(19) Abang Malik memanjat ke atas bumbung rumah.
(20) Swee Ling berasal dari Negeri Sembilan.
(21)  Emak Shafik menerima hadiah cenderamata daripada guru besar.   
(ii) Keterangan waktu
 Dua bentuk keterangan waktu wujud dalam frasa kerja iaitu
·         bentuk frasa sendi nama yang mengandungi kata sendi nama iaitu pada, dalam , sejak dan hingga
·         bentuk frasa nama seperti semalam, tahun lepas, 
Contoh :
(22) Pensyarah itu menamatkan kuliah pada jam 9 malam.
(23) Pameran  kesenian  itu bermula sejak semalam.
(24) Aiman menunggu kepulangan ayahnya hingga pukul 12 malam.
(iii) Keterangan cara
·         Keterangan cara boleh bersumberkan daripada kata adjektif.
·         Keterangan cara boleh terbina daripada frasa sendi nama yang mengandungi   kata sendi nama dengan diikuti kata adjektif yang menerima kata pembenda –nya.
Contoh :
(25)        Air sungai mengalir deras.
(25) (a)   Air sungai mengalir dengan derasnya.
(26)         Azman berlari  pantas.
(26)  (a)   Azman berlari dengan pantasnya.
(27)        Menteri berjalan megah.
(27)  (a)   Menteri berjalan dengan megahnya.

(iv) Keterangan tujuan atau harapan
  • Keterangan tujuan atau harapan ialah unsur yang menerangkan sesuatu perbuatan atau kejadian.
  • Keterangan tujuan menggunakan kata sendi nama : demi, untuk dan bagi
Contoh :
(28)    Muhamad belajar bersungguh-sungguh demi masa depan.
(29)     Mereka berkahwin untuk mencapai kebahagiaan hidup.
(30)    Penghulu berucap di perhimpunan itu bagi menjelaskan isu sebenar.

(v) Keterangan alat
  • Unsur yang menerangkan peralatan, perkakas atau benda yang digunakan dalam sesuatu proses atau peristiwa. Kata sendi nama yang digunakan ialah dengan.
Contoh:
(31)  Guru pelatih itu datang dengan menaiki kereta api
(32)   Encik Ahmad memotong kek dengan pisau.
(33)   Harjit Singh memukul  bola dengan kayu hoki.

(vi) Keterangan penyertaan
  • Unsur yang menerangkan maksud ikut serta, ikut bersama-sama atau melibatkan diri.
  • Kata sendi nama yang digunakan ialah dengan.
Contoh:
(34)     Aminah datang ke masjid dengan suaminya.
(35)   Pegawai kebajikan  melawat kampung contoh dengan ahli jawatankuasa
          surau.
(36)   Muniandy masuk ke pejabat dengan pembantunya.  

(vii) Keterangan  hal
  • keterangan hal berfungsi menerangkan keadaan
  • kata sendi nama yang digunakan ialah tentang, mengenai, terhadap.
Contoh:
(37)     Tuan pengurus  sedang memikirkan tentang masalah itu.
(38)   Panel disiplin membuat teguran terhadap kes itu.
(39)   Jurutera perunding membuat penilaian semula tentang projek tersebut.

(viii) Keterangan bagai
  • Unsur yang menerangkan keserupaan,kesamaan atau hampir sama.
  • Kata sendi nama yang digunakan ialah seperti, bagai, sebagai, bak.
Contoh :
(40)     Amran berlagak seperti pegawai  tinggi .
(41)   Kepantasan  lelaki  itu bertindak bagai lipas kudung .
(42)   Diana berlakon sebagai Puteri Gunung Ledang.
(43)   Hidungnya mancung bak seludang.
6.5       Kesimpulan
Frasa kerja merupakan satu bentuk frasa yang kompleks dan mampu menerima unsur-unsur perkataan yang menjadi struktur asas dalam binaan predikatnya.  
Hal yang demikian bergantung kepada situasi dan rumus yang menjadi dasar dalam pembentukan frasa yang akhirnya menghasilkan satu ayat yang lengkap. 

Minggu 5 - Frasa Kerja Bahasa Melayu

Tahukah anda bahawa dalam  bahasa Melayu, terdapat unsur frasa kerja  yang menjadi salah satu binaan dalam satu-satu ayat. Frasa kerja juga menjadi salah satu tonggak dalam binaan sintaksis. Frasa kerja binaan sintaksis pula didasari oleh pola-pola ayat yang mengandungi pola-pola frasa yang menjadi tunjang dalam ayat sama ada sebagai subjek atau predikat. Malah, ayat dan klausa mengandungi dua konstituen utama, iaitu frasa subjek dan frasa predikat. Sehubungan itu, frasa subjek dibentuk oleh frasa nama, manakala frasa predikat dibentuk oleh empat jenis frasa, iaitu frasa nama (FN), frasa kerja (FK), frasa adjektif (FA) dan frasa sendi nama (FS).



5.0      KANDUNGAN ISI

Anda perlu mengetahui bahawa, kandungan isi untuk topik ini meliputi huraian tentang konsep frasa kerja  berdasarkan pendapat ahli-ahli bahasa. Frasa kerja dalam bahasa Melayu  terdiri daripada kata kerja sebagai dasarnya. Dalam susunan ayat biasa, frasa kerja berfungsi sebagai predikat.


5.1       Konsep Frasa Kerja Bahasa Melayu
Frasa Kerja  menurut Siti Hajar Abdul Aziz. (2008) ialah frasa yang terdiri daripada kata kerja sebagai unsur intinya. Frasa kerja bertugas sebagai predikat dalam susunan ayat biasa.
Menurut Abdullah Hassan et.al (2006), frasa kerja terdiri daripada satu atau beberapa perkataan dengan kata kerja berfungsi sebagai fungsinya. Frasa kerja wujud dalam sesuatu ayat dalam binaan predikat.


Contoh :
Ayat
Subjek
Predikat Frasa Kerja
(1). Emak
(2). Emak  Ahmad
(3). Pemuzik itu
(4). P.Ramlee
menjemur kain.
menjual sayur di pasar.
meniup  saksofon.
mencipta  lagu itu.

5.2       Binaan Frasa Kerja
Binaan kata kerja terdiri daripada kata kerja tak transitif atau kata kerja transitif. Kata kerja tak transitif ialah kata kerja yang tidak memerlukan objek sebagai penyambut.  Kata kerja tak transitif juga dikatakan sebagai kata kerja yang tidak memerlukan frasa nama  sebagai objek (penyambut) untuk melengkapkannya. 

5.2.1 Frasa Kerja Tanpa Objek
Frasa kerja tanpa objek merupakan jenis frasa yang tidak memerlukan penyambut (objek) dan boleh berdiri sendiri dalam sesuatu binaan predikat.

Contoh :
(5). Faisal tidur lena.
(6). Budak nakal itu terjatuh lagi.
(7). Dia selalu bergaduh.

Berdasarkan contoh ayat di atas, ayat (91) , (92) dan (93) menunjukkan kata kerja tidur, terjatuh dan bergaduh. Kata kerja tersebut tidak memerlukan atau tidak tidak diikuti oleh frasa nama sebagai objek atau penyambut. Namun kata kerja ini boleh diikuti oleh unsur pelengkap dan penerang.
Contoh:
(8). Faisal tidur lena di bilik tidur.
(9). Budak nakal itu terjatuh lagi setelah terpijak kulit pisang.
(10). Dia selalu bergaduh sesama rakan sekolah.

Dalam ayat (94), (95), dan (96), kata kerja telah diberi unsur pelengkap dan penerang. Biarpun begitu, ayat ini masih mengekalkan konsep kata kerja tak transitif (tanpa objek)
Pelengkap ialah  perkataan yang hadir selepas kata kerja transitif dan berfungsi untuk melengkapkan kata kerja tersebut.

5.3       Frasa Kerja Dengan Objek
Frasa kerja dengan objek  dikenali juga sebagai frasa kerja transitif.  Frasa kerja transitif mempunyai dasar kata kerja transitif. Kata kerja transitif pula ialah kata kerja yang memerlukan objek, Kata kerja jenis ini mesti diikuti oleh frasa nama sebagai objek atau penyambut untuk melengkapkan kata kerja tersebut.
Contoh:
Frasa Kerja
Kata Kerja Transitif
Penyambut
Menaikkan
bendera
menganyam
tikar
membaiki
radio

Contoh ayat lengkap:
(11).    Pelajar itu menaikkan bendera semasa perhimpunan.
(12).    Ibu menganyam tikar setiap hari.
(13).    Mahmud membaiki radio yang telah rosak.
Frasa kerja juga boleh menerima unsur keterangan.  Dalam ayat (11), (12) dan (13), frasa yang bergaris ialah unsur keterangan yang mengikuti objek. Unsur keterangan juga boleh terdiri daripada frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif dan frasa sendi nama.
Dalam konteks ini , kadang-kala terdapat kekeliruan dalam kalangan pengguna bahasa menggunakan frasa kerja sebagai predikat. Hal yang demikian berlaku  dalam proses membina  sesuatu ayat.

Contoh kesilapan dapat dilihat dalam ayat  (15) hingga ayat  (19).
(15). Zamani akan melaporkan kepada warden  asrama tentang kejadian itu.
(16).Halijah  menggenggam  erat tangan suaminya.
(17).Datuk Amran  menghasilkan banyak produk berasaskan herba.
(18). Lee Chong Wei  menghantar  dengan tenang bulu tangkis ke jaring.
(19). Tuan Pengarah  sedang membincangkan tentang isu pendidikan.
Semua ayat di atas tidak menepati sistem penggunaan kata/frasa kerja transitif.
Ayat-ayat yang tersebut di atas harus ditulis begini: (rujuk ayat  20 – 24)
(20). Zamani akan melaporkan  kejadian  itu  kepada warden  asrama
(21). Halijah  menggenggam   tangan suaminya dengan erat.
(22). Datuk Aman  menghasilkan produk berasaskan herba.
(23).  Lee Chong Wei   menghantar  bulu tangkis ke jaring dengan tenang.
(24).  Tuan Pengarah  sedang membincangkan isu pendidikan.
Catatan: kejadian’, ‘tangan’, ‘produk ’, ‘bulu tangkis’ dan ‘isu pendidikan’ ialah objek  yang mesti hadir selepas kata kerja transitif.